LONDON, 16 Sept – Perdana Menteri Britain, Theresa May (gambar) hari ini berkata beliau ‘berasa jengkel’ dengan pertandingan kepimpinan ketika beliau membidas bekas setiausaha luar Boris Johnson yang dianggap sebagai kemungkinan besar pencabarnya.
Pemimpin Parti Konservatif berhaluan sederhana itu berkata beliau menumpukan usaha memperoleh perjanjian Brexit berbanding masa depannya sendiri, dalam temu bual di televisyen BBC dalam menandakan pengiraan detik enam bulan pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah (EU).
May membidas Johnson kerana menggunakan bahasa ‘yang tidak sesuai sama sekali’ apabila dia menyifatkan rangka tindakan Brexit beliau sebagai meletakkan Britain dalam ‘ves berani mati’.
Ditanya tentang rancangannya untuk terus kekal dalam jawatan, beliau berkata “Saya sedikit berasa jengkel tetapi perdebatan ini bukanlah tentang masa depan saya. Perdebatan ini ialah tentang masa depan rakyat United Kingdom (UK) dan masa depan UK.
“Itu yang menjadi tumpuan saya dan itulah yang seharusnya yang kita beri tumpuan.”
Pemimpin itu menambah kata adalah penting untuk memastikan ‘kita mendapat perjanjian memuaskan dari EU yang baik bagi rakyat di UK, di mana saja mereka tinggal di UK.”
Johnson, yang berundur dari kabinet ekoran cadangan May untuk mendekatkan Britain dengan EU dalam soal perdagangan, adalah orang yang disebut-sebut akan menggantikan May, sebelum Menteri Dalam Negeri, Sajid Javid; pemimpin ahli kerusi parlimen, Jacob Rees-Mogg; Menteri Persekitaran, Michael Gove dan Setiausaha Luar, Jeremy Hurit.
Kerajaan minoriti Konservatif May mempunyai gabungan penyokong teras Brexit yang agak besar yang diketuai oleh Rees-Mogg dan mungkin akan memerlukan sokongan parti pembangkang utama sayap kiri Parti Buruh, atau beberapa ahli parlimen mereka, untuk cadangan Brexit beliau diluluskan di parlimen. – AFP