LONDON, 22 MEI – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dijangka menandatangani perjanjian berhubung penyerahan Kepulauan Chagos kepada Mauritius hari ini, lapor PA Media/dpa.
Agensi berita PA difahamkan perjanjian itu akan dimeterai selepas beberapa minggu tertangguh berikutan isu politik yang rumit.
Kerajaan berhujah Britain perlu melepaskan kedaulatan ke atas kepulauan berkenaan, yang turut dikenali sebagai Wilayah Lautan Hindi British, susulan keputusan undang-undang antarabangsa yang memihak kepada Mauritius.
Menurut akhbar Telegraph yang pertama kali melaporkan perkara itu, Starmer dijadual menghadiri satu majlis menandatangani perjanjian secara maya bersama wakil kerajaan Mauritius hari ini.
Di bawah syarat perjanjian itu, Britain dijangka menyerahkan kedaulatan ke atas wilayah kepulauan itu kepada Mauritius dan seterusnya memajak kembali pangkalan tentera penting di kepulauan berkenaan untuk tempoh 99 tahun.
Selepas majlis menandatangani perjanjian, ahli Parlimen akan dimaklumkan mengenai butiran perjanjian itu di House of Commons, yang mungkin merangkumi lanjutan pajakan pangkalan tentera selama 40 tahun, menurut laporan Telegraph.
Diego Garcia, pulau terbesar dalam gugusan Kepulauan Chagos, menempatkan pangkalan tentera bersama United Kingdom-Amerika Syarikat yang digunakan bagi mengukuhkan pengaruh Barat di Lautan Hindi. – Bernama
