LONDON, 30 MEI – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengahwini tunangnya, Carrie Symonds dalam satu ‘upacara rahsia’, semalam.
Laporan media United Kingdom (UK) menyatakan Johnson, 56, mengahwini Symonds, 33, di Gereja Katholik Westminster yang dihadiri rakan dan keluarga rapatnya.
Berita perkahwinan itu dilaporkan akhbar Mail on Sunday dan The Sun.
“Pasangan suami isteri itu akan meraikan perkahwinan mereka bersama keluarga dan sahabat-handai pada musim panas akan datang.”
Johnson menjadi Perdana Menteri Britain kedua yang berkahwin ketika memegang jawatan, dan yang pertama selepas hampir dua abad. Perdana menteri terakhir adalah Robert Jenkinson pada 1822.

Perkahwinan Johnson mengejutkan ramai pihak kerana awal minggu ini dilaporkan pasangan itu mengirimkan kad jemputan meminta tetamu ‘simpan tarikh’ untuk perkahwinan mereka pada 30 Julai depan.
Dilaporkan pasangan itu sudah menunggu berbulan-bulan untuk mengikat hubungan mereka selepas rancangan asal untuk berkahwin tahun lalu ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.
Pasangan itu bertunang pada Disember 2019, dan mempunyai seorang anak
lelaki berusia setahun yang diberi nama Wilfred.
Kira-kira 30 tetamu menghadiri upacara perkahwinan itu – menepati syarat maksimum tetamu yang dibenarkan berkumpul untuk satu-satu majlis di bawah peraturan berkaitan COVID-19 di negara itu.
Berlangsung di pusat bandar London, tetamu dijemput pada saat akhir, menurut laporan Mail on Sunday.– AFP