HELSINKI, 3 DIS – Perdana Menteri Finland Antti Rinne meletak jawatan hari ini selepas kehilangan sokongan rakan gabungan, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai masa depan gabungan pemerintah.
Parti Tengah kini sedang menimbang sama ada menarik balik sokongannya terhadap gabungan lima parti, satu tindakan yang mungkin membawa kepada pilihan raya kilat.
Parti itu berasa marah selepas perdana menteri dituduh berdusta oleh ketua Finland Post, kemuncak perbalahan berhubung pembaharuan gaji dan keadaan beberapa pekerja pos.
Rinne, Demokrat Sosial yang mengetuai kerajaan berhaluan kiri sejak Jun, menyerah surat peletakan jawatan kepada Presiden Sauli Niinisto, kata pejabat presiden.
Demokrat Sosial kini akan melantik pengganti untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Sanna Marin, orang nombor dua parti di belakang Rinne dan menteri pengangkutan sekarang, telah pun berkata beliau rela mengambil alih.
Penganalisis politik Sini Korpinen berkata parti gabungan kemungkinan besar akan bersetuju untuk meneruskan bersama, memandangkan mereka tidak ingin kerajaan jatuh.
Ia benar untuk Parti Tengah, yang ‘tidak mahu pilihan raya disebabkan mereka akan mencatat keputusan lebih teruk’ berbanding sebelumnya.
“Senario yang mungkin berlaku adalah mereka akan meneruskannya, dengan program kerajaan yang sama’ tetapi mungkin menukar beberapa menteri kabinet, beritahunya kepada AFP.
Peletakan jawatan Rinne berlaku selepas krisis politik selama beberapa minggu berhubung pelan memindah 700 pekerja Finland Post, syarikat sendirian berhad dengan kerajaan sebagai satu-satunya pemegang saham, kepada perjanjian gaji kolektif yang kurang memuaskan demi mempertingkat persaingan. – AFP