NEW DELHI, 14 FEB – Perdana Menteri India, Narendra Modi, menamatkan lawatan diplomatik hari ini setelah mendapat janji sokongan penting daripada Washington dan Paris untuk membantu meningkatkan program tenaga nuklear negaranya.
New Delhi telah berjanji untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2070 sebahagiannya dengan meningkatkan bilangan loji nuklear di negara itu daripada lapan, yang kini menyumbang kira-kira tiga peratus daripada penjanaan kuasa di India.
Dalam pertemuan di Rumah Putih antara Modi dengan Presiden Donald Trump menghasilkan persetujuan untuk membina reaktor nuklear rekaan Amerika Syarikat (AS) di India.
“Perkembangan ini akan membuka kunci rancangan untuk membina reaktor besar rekaan AS dan membolehkan kerjasama untuk membangun, menggunakan dan meningkatkan penjanaan kuasa nuklear dengan reaktor modular kecil yang canggih,” kata satu kenyataan bersama kelmarin.
India mendedahkan perjanjian yang sama dengan Perancis berikutan pertemuan Modi dengan Presiden Emmanuel Macron awal minggu ini.
Setiausaha Luar India, Vikram Misri, berkata Rabu lalu bahawa India dan Perancis berhasrat untuk memulakan kerjasama dalam membangunkan reaktor nuklear modular kecil, yang masih dalam peringkat awal.
“Niat kami adalah untuk dapat bekerjasama dalam mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan reaktor bersama mereka,” katanya kepada pemberita.
Kedua-dua perkongsian itu dibuat beberapa hari selepas kerajaan Modi mengumumkan rancangan untuk meminda undang-undang liabiliti nuklearnya yang ketat, menjadikan pengendali bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau kemalangan dengan pengecualian dibuat untuk situasi tertentu termasuk bencana alam. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P19-1A-paper_15022025.jpg)