PM Iraq terselamat dalam serangan dron

BAGHDAD, 7 NOV – Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi terselamat daripada ‘cubaan membunuh’ selepas kediaman rasminya di Baghdad menjadi sasaran serangan dron hari ini.

Washington mengecam ‘perbuatan keganasan itu’ sementara Presiden Iraq Barham Saleh menggelar serangan, yang masih belum dituntut oleh mana-mana kumpulan, satu percubaan ‘merampas kuasa ke atas sistem perlembagaan.’

Kadhemi, 54 tahun dan berkuasa sejak Mei 2020, merayu semua orang ‘bertenang’ sebelum mempengerusikan satu mesyuarat di pejabatnya yang dikawal ketat di Zon Hijau Baghdad, di mana serangan semalaman berlaku.

Tiga dron dilancarkan dari belakang jambatan Sungai Tigris tetapi dua berjaya dipintas, menurut sumber keselamatan, yang berkata dua pengawal peribadi mengalami kecederaan.

Bunyi tembakan kedengaran dan asap dapat dilihat dari Zon Hijau selepas serangan, yang dilabel oleh pejabat perdana menteri sebagai ‘kegagalan percubaan membunuh.’

Gambar yang dikeluarkan oleh pejabat Kadhemi menunjukkan serpihan kaca bertaburan di atas tanah di bawah tangga luar yang rosak dan sebuah pintu telah terkopek. Kadhemi berkata dalam video bahawa ‘kediaman saya telah menjadi sasaran serangan pengecut. Syukurlah saya dalam keadaan baik.’

Serangan berlaku dua hari selepas anggota keselamatan bertempur dengan penyokong parti sokongan Iran yang kehilangan sokongan dalam pilihan raya parlimen pada 10 Oktober dan yang mendakwa mereka adalah mangsa penipuan pengundian. – AFP

Gambar serahan Pejabat Media Perdana Menteri Iraq menunjukkan keadaan kediaman Mustafa al-Kadhemi selepas serangan dron di Zon Hijau di Baghdad kelmarin. – AP