BAITULMAQDIS, 24 JULAI – Kerajaan Israel yang berhaluan kanan telah bersiap sedia hari ini untuk mendorong parlimen meluluskan satu klausa utama dalam pakej pembaharuan kehakimannya yang mencetuskan protes besar-besaran dan dilabel sebagai ‘memecahbelahkan’ oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah kembali ke Knesset – hanya sehari selepas menjalani pembedahan untuk memasang perentak jantung – sementara polis di luar badan perundangan itu menggunakan meriam air terhadap sekumpulan penunjuk perasaan.
Presiden Isaac Herzog, yang telah cuba untuk menjadi perantara selepas setengah tahun protes jalanan besar-besaran mingguan, memberi amaran bahawa ‘kita berada dalam keadaan darurat’.
Pengkritik bimbang bahawa pembaharuan kehakiman yang dicadangkan akan menjejaskan demokrasi liberal Israel dengan menghapuskan amalan semak dan imbang terhadap eksekutif, manakala kerajaan mendakwa langkah tersebut perlu untuk mengehadkan campur tangan kehakiman.
Netanyahu, 73, tiba di parlimen di mana ahli-ahli parlimen kemudiannya memulakan sesi untuk undian terakhir bagi rang undang-undang yang akan mengehadkan keupayaan hakim untuk membatalkan keputusan kerajaan yang dianggap ‘tidak munasabah’.
Kerajaan gabungannya, yang merangkumi parti-parti Yahudi berhaluan kanan dan ultra-Ortodoks, berhujah bahawa perubahan yang dicadangkan diperlukan untuk memastikan keseimbangan kuasa yang lebih baik. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P13-3A-AP_25062023.jpg)