Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Jepun bersedia pecat menteri-menteri utama kerana dakwaan rasuah

    TOKYO, 11 DIS – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida bersedia untuk memecat beberapa menteri tertinggi yang dilaporkan sedang disiasat atas dakwaan penipuan, kata media tempatan hari ini, dalam apa yang akan menjadi rombakan kedua dalam tempoh tiga bulan.

    Mereka yang akan dipecat, berpotensi seawal minggu ini, termasuk orang kanan Kishida, Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno dan Menteri Ekonomi, Industri dan Perdagangan, Yasutoshi Nishimura, kata laporan itu.

    Menurut Asahi Shimbun daily, jumlah yang akan dipecat ialah 15 orang, termasuk beberapa timbalan menteri dan naib menteri parlimen.

    Kesemuanya tergolong dalam puak yang dahulunya diketuai oleh mendiang perdana menteri, Shinzo Abe, satu daripada sekurang-kurangnya lima kumpulan utama yang bersaing untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah.

    Pendakwa raya sedang menyiasat dakwaan bahawa puak itu gagal melaporkan puluhan ribu dolar yang dikumpul melalui pihak mengumpul dana, menurut laporan media dalam beberapa hari kebelakangan ini.

    Seorang lagi yang dilaporkan terlibat ialah bekas menteri Olimpik, Seiko Hashimoto.

    Pada hari ini, Kishida enggan mengulas mengenai kemungkinan rombakan, yang boleh berlaku sebaik sesi parlimen semasa berakhir pada hari Rabu, tetapi berkata beliau memandang serius dakwaan penipuan itu.

    “Saya sedang memikirkan untuk mengambil langkah yang sesuai pada masa yang sesuai demi memulihkan kepercayaan orang ramai (kepada kerajaan), dan untuk mencegah kelewatan dalam operasi kerajaan,” kata Kishida kepada pemberita. – AFP

    Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno (tengah) dikerumuni wartawan sebaik tiba di pejabat perdana menteri pada hari ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda