Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Jepun dedah tidur 2-4 jam setiap malam

    TOKYO, 13 NOV – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, hari ini telah mendedahkan, beliau hanya tidur antara dua hingga empat jam setiap malam, di tengah-tengah kritikan, beliau menggalakkan budaya kerja berlebihan.

    Pendedahan mengenai waktu tidurnya yang amat singkat itu muncul selepas Takaichi mencetuskan tanda tanya minggu lalu apabila beliau mengatur mesyuarat kakitangan pada pukul 3 pagi di pejabatnya bagi membuat persiapan untuk sesi Parlimen.

    “Saya tidur sekitar dua jam sekarang, paling lama empat jam. Saya tahu ia tidak baik untuk kulit saya,” katanya di hadapan sebuah jawatankuasa perundangan, selepas ditanya mengenai kepentingan mengurangkan waktu kerja panjang yang sudah lama menjadi kebiasaan di Jepun.

    Jepun sudah lama berdepan cabaran untuk mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, dengan ramai pekerja tertekan akibat beban kerja yang berat.

    Malah, negara itu mempunyai istilah tersendiri, ‘karoshi’ yang bermaksud kematian akibat kerja berlebihan.

    Sanae Takaichi semasa menghadiri sesi Jawatankuasa Belanjawan Dewan Kaunselor, Parlimen di Tokyo, Jepun pada 21 November. – AFP

    Takaichi turut diminta menjelaskan perbincangan kerajaan mengenai kemungkinan melanjutkan had maksimum kerja lebih masa demi merangsang pertumbuhan ekonomi.

    Beliau mempertahankan cadangan itu dengan menjelaskan, keperluan pekerja dan majikan tidak sama.

    “Ada individu yang memilih untuk bekerja dua pekerjaan demi menampung kehidupan, manakala ada syarikat pula yang mengenakan had ketat terhadap kerja lebih masa,” ujarnya.

    Namun, Takaichi menegaskan, sebarang perubahan akan tetap memastikan kesihatan pekerja dilindungi.

    “Sesungguhnya, jika kita dapat mewujudkan keadaan di mana seseorang boleh mengimbangi tanggungjawab menjaga anak dan ahli keluarga mengikut kehendak mereka, sambil terus bekerja, menikmati masa lapang dan berehat, itulah keadaan yang ideal,” katanya.

    Takaichi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun bulan lalu, menjadikannya wanita pertama dalam sejarah negara itu menyandang jawatan tersebut.

    Selepas kemenangannya sebagai ketua Parti Demokratik Liberal, beliau berikrar untuk “menyingkirkan istilah ‘keseimbangan kerja dan kehidupan’ daripada kamus peribadinya,” sambil menegaskan, “Saya akan bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan terus bekerja.”

    Sejak itu, beliau kekal sibuk dengan jadual padat, menghadiri mesyuarat serantau serta mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Presiden China, Xi Jinping, dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda