TOKYO, 4 JUN – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, berkata kelmarin, beliau mahu ‘menggiatkan’ kerjasama dengan Korea Selatan selepas presiden baharu, Lee Jae-myung, mengambil alih pemerintahan.
Pertikaian berpanjangan mengenai isu wilayah dan penggunaan buruh paksa oleh Jepun semasa penjajahan ke atas Semenanjung Korea pada abad ke-20 telah lama menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara jiran itu.
Namun, hubungan mereka menjadi lebih rapat di bawah bekas presiden Korea Selatan yang tercemar, Yoon Suk Yeol, termasuk melalui rundingan tiga hala bersama sekutu bersama, Amerika Syarikat.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 pemulihan hubungan diplomatik antara Jepun dan Korea,” kata Ishiba kepada wartawan di Tokyo.
Tambahnya, “Bersama Presiden Lee Jae-myung, saya ingin menggiatkan kerjasama antara Jepun dan Korea Selatan serta antara Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.”
Ishiba turut menyatakan “Adalah baik jika kita dapat mengadakan sidang kemuncak Jepun-Korea Selatan dalam masa terdekat”.
Lee memenangi pilihan raya mengejut yang diadakan enam bulan selepas cubaan gagal untuk mengisytiharkan undang-undang tentera oleh bekas Presiden Korea Selatan, Yoon, yang menyebabkan negara itu terjerumus ke dalam kekacauan politik.
“Terdapat pelbagai pandangan awam dalam Korea Selatan terhadap Jepun,” kata Ishiba.
Menurut agensi berita Yonhap, Lee sebelum ini telah mengambil pendirian lebih tegas terhadap Jepun berbanding Yoon, termasuk mengkritik bekas presiden itu sebagai ‘tunduk’ kepada Jepun. – AFP


