TOKYO, 4 OKT – Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berjanji pada Isnin untuk memulihkan industri pelancongan negara pasca pandemik dengan menetapkan matlamat baharu untuk melihat pelancong asing datang berbelanja lebih 5 trilion yen (AS$35 bilion) setiap tahun.
Dalam ucapan dasar pada permulaan sidang parlimen luar biasa, Kishida berkata kerajaan akan memanfaatkan penyusutan yen Jepun dan akan terus melonggarkan kawalan sempadan negara yang sebelum ini diperketatkan kerana COVID-19, lapor berita Kyodo.
Yen yang lebih lemah telah meningkatkan harga import, namun perdana menteri menyatakan kesediaannya untuk menangani peningkatan kos tenaga melalui tindakan yang ‘belum pernah dilakukan sebelum ini’ bagi meringankan beban isi rumah dan syarikat.
Berikutan rakyat hadapi kesukaran akibat kos yang lebih tinggi, Kishida berkata kerajaannya merancang untuk menggalakkan kenaikan gaji dengan melabur 1 trilion yen untuk pembangunan sumber manusia, dalam bidang yang berpotensi untuk tempoh lima tahun, tambahnya.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memerangi kenaikan harga dan memulihkan ekonomi Jepun yang kekurangan sumber,” kata Kishida. – Bernama
