Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Jepun janji rangsang kadar kelahiran

    TOKYO, 17 MAC – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida hari ini berjanji akan menambah elaun kanak-kanak dan cuti berbayar ibu bapa ketika beliau mengingatkan negara berdepan ‘peluang terakhir’ untuk mengatasi populasi yang menurun.

    Seperti kebanyakan negara, Jepun telah bergelut dengan kadar kelahiran merosot selama beberapa tahun, dengan kurang 800,000 anak damit lahir pada tahun lalu, yang paling rendah sejak rekod bermula.

    Negara itu adalah yang kedua paling tua di dunia, selepas Monaco, dan pada Januari, Kishida memberi amaran Jepun ‘berada di ambang sama ada kami boleh terus berfungsi sebagai sebuah masyarakat.’

    “Enam hingga tujuh tahun dari sekarang merupakan peluang terakhir untuk menterbalikkan trend kadar kelahiran merosot,” beritahunya kepada wartawan pada sidang media untuk melancarkan cadangan dasar baharu.

    “Saya mahu mewujudkan sebuah masyarakat di mana orang muda boleh berkahwin dan semua orang boleh mempunyai anak dan menyara mereka tanpa stres,” katanya.

    Beliau melancarkan cadangan yang termasuk elaun untuk kanak-kanak, usaha menambah gaji untuk orang muda dan langkah-langkah untuk mengatasi kos pendidikan tinggi.

    Kishida berkata kerajaan kini mempunyai matlamat 50 peratus bapa baharu mengambil cuti paterniti menjelang tahun kewangan 2025, dan 80 peratus menjelang 2030.

    Untuk mencapai matlamat itu, langkah yang dicadangkan termasuk menawarkan elaun kepada syarikat untuk menggalakkan cuti paterniti dan juga memberikan gaji lebih apabila kedua-dua ibu bapa mengambil cuti. – AFP

    Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida semasa sidang media di kediaman rasminya di Tokyo, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda