TOKYO, 30 OGOS – Perdana Menteri Jepun telah makan ikan dari Fukushima yang dianggap ‘selamat dan sedap’ hari ini, selepas beberapa hari air sisa telah dilepaskan dari loji nuklear ke Lautan Pasifik.
Satu klip video yang menunjukkan Fumio Kishida memakan ikan Fukushima, disiarkan di media sosial oleh pejabatnya, keluar selepas China mengharamkan semua import makanan laut dari negara jiran berikutan pelepasan yang bermula pada 24 Ogos.
“Ini amat sedap,” kata Kishida sambil mengunyah sekeping sashimi, mengajak penonton untuk menikmati makanan laut Jepun yang ‘selamat dan sedap’ untuk menyokong wilayah timur laut.
Klip tersebut, diiringi dengan muzik yang ceria, menunjukkan pemimpin konservatif itu disertai tiga menteri lain di pejabatnya untuk memakan sashimi, buah-buahan, nasi dan sayur-sayuran dari kawasan Fukushima.
Ia bertujuan mempromosikan produk dari kawasan tersebut 12 tahun selepas Fukushima dimusnahkan oleh gempa bumi dan tsunami besar yang mencetuskan salah satu bencana nuklear terburuk di dunia.
Bahkan sebelum pelepasan air sisa, ramai dalam industri perikanan Jepun bimbang tentang apa yang akan berlaku kepada reputasi makanan laut negara itu di dalam dan luar negara.
Pelepasan air terawat itu, bersamaan dengan lebih daripada 500 kolam renang Olimpik, dijangka mengambil beberapa dekad dan akan membolehkan jurutera memulakan proses membuang bahan bakar radioaktif yang sangat berbahaya daripada tiga reaktor yang rosak.
Batu dan telur telah dilemparkan ke sekolah dan konsulat Jepun di China dan Tokyo telah menasihatkan warganya di sana supaya mengekalkan profil rendah. Perniagaan di Jepun juga telah dibanjiri dengan panggilan daripada nombor China.
Kishida dijangka melawat pasar ikan utam Toyosu di Jepun esok untuk mencuba lebih banyak ikan Fukushima. – AFP
