Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Jepun sasar pertumbuhan ekonomi melalui AI, cip dan kapal

    TOKYO, 11 NOV – Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, ingin pulihkan ekonomi negara nombor empat dunia itu dengan melabur dalam 17 bidang utama termasuk AI, cip dan pembinaan kapal, menurut kenyataan kerajaan hari ini.

    Pelan pertumbuhan yang dijadualkan dimuktamadkan pada tahun 2026 sedang disediakan selari dengan pakej rangsangan baharu yang dijangka menjelang akhir November yang mungkin bernilai lebih daripada 10 trilion yen, menurut akhbar Nikkei.

    Takaichi, yang baharu dilantik sebagai perdana menteri kelima Jepun telah mengumpulkan Majlis Strategi Pertumbuhan Jepun yang mengadakan perbincangan pertamanya lewat Isnin.

    Dalam dokumen yang dikeluarkan kerajaan, bidang pelaburan lain juga termasuk pertahanan, dadah, mineral kritikal, aeroangkasa dan angkasa lepas, keselamatan siber, pengkomputeran kuantum dan pelakuran nuklear.

    “Saya meminta menteri-menteri berkaitan untuk berusaha mendapatkan bajet tambahan yang diperlukan dan melaksanakan langkah-langkah cukai yang diperlukan untuk kandungan yang dibentangkan di sini,” kata Takaichi pada mesyuarat yang dihadiri oleh menteri dan pakar.

    “Saya juga meminta awda untuk segera mulakan apa yang boleh dilakukan tanpa menunggu pemuktamadan langkah-langkah ekonomi ini,” katanya.

    Takaichi dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah setuju untuk menggalakkan kerjasama dalam pembinaan kapal dalam mesyuarat mereka lewat bulan lalu, manakala sektor cip juga merupakan kunci untuk keselamatan ekonomi yang ditekankan oleh Takaichi.

    Pakej rangsangan itu dijangka merangkumi langkah-langkah untuk mengurangkan penderitaan berikutan kenaikan harga isi rumah.

    Kemarahan terhadap inflasi merupakan faktor besar dalam rentetan keputusan pilihan raya yang buruk yang menjatuhkan pendahulu Takaichi, Shigeru Ishiba, selepas hampir setahun memegang jawatan. – AFP

    Sanae Takaichi menjawab soalan semasa sesi Jawatankuasa Belanjawan Dewan Perwakilan di Diet Kebangsaan di Tokyo kelmarin. Beliau  sasar pertumbuhan ekonomi melalui AI, cip dan kapal. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda