Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Kemboja henti import minyak dari Thailand

    PHNOM PENH, 23 JUN – Perdana Menteri Kemboja kelmarin mengumumkan, negara itu akan menghentikan semua import minyak dari negara jiran, Thailand, ketika ketegangan memuncak susulan pertikaian sempadan yang berlarutan.

    Kedua-dua negara telah berselisih sejak seorang askar Kemboja terbunuh bulan lalu apabila tentera kedua-dua pihak berbalas tembakan di kawasan pertikaian yang dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud, lokasi pertemuan sempadan Kemboja, Thailand dan Laos.

    “Mulai tengah malam ini, semua import minyak dan gas dari Thailand akan dihentikan,” tulis Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, di media sosial.

    Beliau berkata syarikat tenaga boleh “mengimport secukupnya dari sumber lain bagi memenuhi keperluan minyak dan gas dalam negara”.

    Thailand telah mengenakan sekatan ke atas beberapa pos kawalan sempadan dengan alasan ‘keselamatan negara’ dan kelmarin, Kemboja bertindak balas dengan menutup dua laluan lintasan.

    Dalam kenyataan berasingan kelmarin, Kementerian Luar Kemboja turut menasihatkan rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke Thailand tanpa keperluan.

    Manakala Jabatan Hal Ehwal Konsular Thailand memberi amaran kepada rakyat Thailand di Kemboja agar mengelakkan ‘kawasan protes’.

    Pertikaian sempadan itu telah mencetuskan kekacauan politik di Thailand selepas perbualan telefon antara pemimpin kedua-dua negara dibocorkan, sehingga mencetuskan kritikan terhadap tingkah laku Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra. – AFP

    Seorang pekerja mengisi petrol ke dalam tangki motosikal di sebuah stesen minyak di Phnom Penh pada 23 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda