PHNOM PENH, 14 SEPT – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet tiba di China hari ini, kata media kerajaan Beijing, memulakan lawatan di mana beliau akan bertemu sekutu rapat, Presiden Xi Jinping dan pegawai tertinggi lain.
“Pada petang ini, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing untuk memulakan lawatan rasminya ke China,” kata penyiar negara CGTN di platform media sosial Weibo.
“Ia adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Hun Manet sejak beliau memegang jawatan,” katanya sambil menekankan ‘ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik antara China dan Kemboja’ pada tahun ini.
Hun dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas Xi, serta mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Li Qiang dan Zhao Leji, Ketua Jawatankuasa Tetap Badan Penggubal Undang-undang Tertinggi China, beritahu jurucakap Meas Sophorn kepada akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.
Beliau kemudiannya akan mengunjungi bandar selatan Nanning untuk menghadiri Ekspo ASEAN-China ke-20.
Phnom Penh menjadi salah satu sekutu terkuat China di rantau ini di bawah Hun Sen, yang memerintah secara kuku besi selama hampir empat dekad, menerima sejumlah besar pelaburan China.
Lawatan itu akan menjadi salah satu lawatan pertama Hun Manet ke luar negara sejak menjadi perdana menteri, selepas beliau menghadiri sidang kemuncak pemimpin ASEAN di Jakarta minggu lalu. – AFP