Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Kemboja tumpu penjagaan kesihatan luar bandar

    PHNOM PENH, 16 SEPT – Kemboja sedang meningkatkan usaha pemodenan sektor penjagaan kesihatannya dengan tumpuan yang tinggi untuk meningkatkan perkhidmatan perubatan di kawasan luar bandar, yang mana akses kepada rawatan sukar kerana kekurangan kemudahan dan infrastruktur.

    Selepas mencapai kemajuan ketara dalam membangunkan ekonominya, mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan sepanjang tahun, kerajaan memberikan tumpuan untuk menaik taraf sistem penjagaan kesihatan untuk 16 juta penduduknya.

    Perdana Menteri, Hun Manet berkata perkhidmatan kesihatan perlu ditambah baik untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem penjagaan kesihatan negara dan membawa perkhidmatan perubatan lebih dekat kepada rakyat.

    “Langkah pertama memperluaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan di peringkat akar umbi, termasuk membina pos kesihatan dan pusat kesihatan rujukan daerah, yang terus kami bangunkan.

    “Mengukuhkan infrastruktur yang terhubung juga merupakan bahagian penting dalam usaha ini,” kata Hun Manet semasa majlis pecah tanah bangunan baharu Hospital Calmette di ibu negara hari ini, lapor Fresh News.

    Hampir 60 peratus daripada penduduknya berumur di bawah 30 tahun, manakala ia juga mempunyai kumpulan warga emas yang memerlukan rawatan perubatan berterusan dan berkualiti.

    Kekurangan infrastruktur penjagaan kesihatan yang baik, perubahan corak penyakit dan kos penjagaan perubatan yang meningkat menjadi beban kepada rakyat. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda