Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Kyrgyzstan letak jawatan

    BISHKEK, 7 OKT – Perdana Menteri Kyrgyzstan dan speaker parlimen hari ini meletakkan jawatan berikutan tunjuk perasaan besar-besaran yang membantah keputusan pilihan raya parlimen 4 Oktober lalu, lapor Agensi Anadolu.

    Speaker Parlimen Dastan Jumabekov dan Perdana Menteri Kubatbek Boronov menyerahkan surat peletakan jawatan mereka dalam mesyuarat yang dihadiri anggota parlimen di Bishkek.

    Anggota parlimen bersetuju melantik Sadyr Zhaparov sebagai perdana menteri sementara dan Miktibek Abdildayev sebagai speaker.

    Kyrgyzstan dicengkam demonstrasi besar-besaran menyaksikan ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Bishkek menuntut pilihan raya baharu diadakan.

    Keputusan pilihan raya itu juga telah menyebabkan huru-hara dengan para pembantah merampas bangunan kerajaan dan membebaskan ahli politik berprofil tinggi dari penjara termasuk bekas presiden Almazbek Atambayev.

    Gambar fail pada 22 November 2019 menunjukkan Kubatbek Boronov ketika menghadiri mesyuarat ekonomi di Ankara, Turki. Boronov dan Jumabekov menyerahkan surat peletakan jawatan mereka dalam mesyuarat yang dihadiri anggota parlimen di Bishkek, kelmarin.- AFP

    Penunjuk perasaan juga bertempur dengan polis dan menyerbu bangunan parlimen serta bangunan kerajaan yang lain.

    Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan hampir 600 lagi cedera.

    Terdahulu kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya Kyrgyzstan berkata keputusan pilihan raya tidak sah, sejurus selepas Presiden Sooronbay Jeenbekov meminta semua bertenang dan mendesak parti politik memikirkan nasib negara mengatasi cita-cita politik mereka.

    Jurucakap kepada Presiden Rusia Vladimir Putin, Dmitry Peskov memberitahu kepada wartawan bahawa Kremlin juga sangat mengambil berat mengenai pergolakan yang berlaku itu.

    Pihak berkuasa tentera Rusia berkata mereka akan terus mengetatkan kawalan keselamatan di pangkalan mereka di luar ibu kota negara itu. – AFP/Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda