BEIRUT, 26 April – Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri telah melancarkan satu aplikasi untuk mengongsikan swafoto bersama para penyokong beliau ketika beliau berkempen bagi pemilihan semula dalam pengundian parlimen pertama negara itu dalam tempoh hampir sedekad.
Penggemar swafoto yang sudah lama, Saad Hariri, 48 tahun Selasa lalu menggesa para pengikut media sosial beliau supaya menggunakan aplikasi itu untuk mengongsikan gambar-gambar yang mana beliau muncul di sisi mereka.
Pelancaran aplikasi itu dibuat sebelum piilhan raya pada 6 Mei, di mana hampir 600 orang calon di negara itu cuba menarik anak-anak muda warga Lubnan di media sosial.
Hariri menerajui Future Movement (Pergerakan Masa Depan) yang mengetengahkan 37 orang calon termasuklah diri beliau sendiri semasa pengundian perundangan pertama sejak 2009.
Perdana Menteri telah berswafoto dengan ramai penyokong dan malah para pemimpin dunia dalam tempoh bertahun-tahun.
Satu swafoto yang dirakamkan bulan ini menunjukkan beliau nampak bersantai di Paris bersama Raja Maghribi, Raja Mohammed VI dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.
Sebaik mereka memuat turun aplikasi baru itu, para penyokong Hariri boleh mengagumi koleksi potret-potret amatur yang memaparkan perdana menteri tersenyum lebar ditengah-tengah penyokong beliau.

Mereka juga boleh menambah gambar-gambar mereka sendiri bersama pemimpin itu.
Pada perhimpunan baru-baru ini, beliau telah berjanji kepada sekumpulan seramai 6,000 wanita untuk berswafoto dengan setiap mereka jika beliau menang.
Daya penarik publisiti, dirakamkan dalam video yang telah dikongsi secara meluas, telah mengundang kritikan di negara itu yang berdepan siri-siri drama politik dalam beberapa tahun kebelakangan dan dalam kepayahan mengelak krisis ekonomi.
“Berswafoto berlatar belakangkan hutang,” salah seorang pengguna memperolok-olokan di Facebook, dengan secara tidak langsung menyebutkan tentang hutang yang semakin bertambah di negara ketiga di dunia paling banyak berhutang itu, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa.
Tetapi seorang pengikut yang terpesona menulis: “Semoga Tuhan melindungi anda, raja swafoto.”
Pada November lalu, Hariri mengumumkan peletakan jawatan dalam ucapan mengejut yang disiarkan di televisyen dari Arab Saudi yang menggegarkan Lubnan.
Beberapa minggu kemudian, selepas rundingan dengan pelbagai kumpulan politik di Lubnan, Hariri mengumumkan beliau telah menarik balik keputusan itu. – AFP