BEIRUT, 28 Feb – Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri, akan mengunjungi Arab Saudi hari ini buat kali pertama sejak pengumuman peletakan jawatannya di negara itu mencetuskan krisis, kata sumber kerajaan.
Peletakan jawatan yang diumumkan pada 4 November lalu dan berada di Arab Saudi lebih lama mengeruhkan hubungan antara Riyadh dan Beirut, di tengah dakwaannya dikenakan hukuman tahanan di dalam rumah, sehingga memaksa campur tangan Perancis.
Hariri kembali ke Lubnan dan pengumumannya untuk meletak jawatan segera ditarik semula.
“Lawatan Hariri ke Arab Saudi bermula hari ini,” kata sumber kerajaan kepada AFP, tanpa menambah sebarang butiran lanjut.
Satu lagi sumber yang rapat dengan Perdana Menteri itu berkata, Hariri akan berbincang dengan Raja Arab Saudi, Salman dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
Kelmarin, Hariri menerima jemputan melawat Arab Saudi ketika mengadakan pertemuan dengan wakil dari negara itu, Nizar Al-Alula. Dia juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Michel Aoun, yang memberitahunya hasrat Lubnan mengekalkan hubungan baik dengan Arab Saudi.
Hubungan kedua-dua negara tegang dengan pengaruh bertentangan dua seteru, Arab Saudi dan Iran ke atas Lubnan.
Utusan Arab Saudi akan mengadakan lawatan menjelang pilihan raya parlimen pada 6 Mei ini yang pertama di Lubnan sejak 2009 berikutan tiga sambungan mandat parlimen. – AFP