BEIRUT, 30 OKT – Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri menyerahkan surat peletakan jawatan semalam, sekali gus tunduk kepada bantahan besar-besaran seluruh negara yang menentang amalan rasuah dan sektarianisme.
Ucapan peletakan jawatan beliau disiarkan secara langsung di televisyen dan disambut gembira oleh kumpulan penunjuk perasaan yang masih tidak menghentikan gerakan mereka sejak 17 Oktober, menyebabkan keseluruhan negara lumpuh.
“Adalah satu keperluan untuk kita melakukan kejutan dalam menangani krisis ini. Saya akan pergi ke Istana Baabda untuk menyerahkan surat peletakan jawatan,” kata Saad yang sudah melepaskan portfolio berkenaan sebanyak dua kali sebelum ini.
Katanya, tindakan berkenaan diambil sebagai menunaikan permintaan sebahagian besar rakyat Lubnan yang menuntut perubahan.
Keputusan Saad yang juga kemenangan besar perusuh setakat ini membuatkan parlimen berdepan tugas baharu iaitu membentuk kerajaan jika presiden diluluskan.
Pengumuman Saad berlaku beberapa hari selepas beliau gagal merombak kabinet gabungan yang dibentuknya, susulan ketegangan yang semakin memuncak antara perusuh dan anggota keselamatan.
Ia diikuti oleh pertempuran antara kedua pihak yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kemelut lebih besar.
Dalam ucapannya semalam, Saad berkata beliau berdepan jalan buntu dan menggesa pemimpin politik melindungi negara itu.
Pengarah Institut Hubungan Strategik Levant, Sami Nader berkata, tindakan diambil Saad membuka pintu penyelesaian kerana peletakan jawatan adalah satu-satunya cara untuk mengakhiri krisis semasa. – AFP
