Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Nepal adakan rundingan pertama dengan parti dan ‘Gen Z’

    KATHMANDU, 30 OKT – Pemimpin sementara Nepal telah mengadakan rundingan pertama antara parti-parti politik dan wakil belia sejak protes antirasuah bulan lalu yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan terdahulu, menurut pegawai hari ini.

    “Kami telah berjaya mewujudkan suasana kerjasama dan kepercayaan dengan menamatkan keadaan tanpa dialog,” kata Perdana Menteri Sushila Karki, bekas ketua hakim negara yang dilantik sebagai pemimpin sementara, dalam satu kenyataan di media sosial.

    Kekacauan pada 8 hingga 9 September itu tercetus akibat larangan sementara terhadap media sosial, namun sebenarnya berpunca daripada rasa kecewa yang berlarutan terhadap kesusahan ekonomi dan rasuah.

    Sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dalam rusuhan selama dua hari itu, yang turut menyebabkan bangunan parlimen, mahkamah dan kerajaan terbakar.

    Karki, 73, yang akan mengetuai negara di pergunungan Himalaya itu sehingga pilihan raya akan datang, mengadakan pertemuan selama empat jam dengan wakil belia kelmarin, menurut penyelaras medianya, Ram Rawal.

    Cabaran besar menanti bagi memastikan pilihan raya Mac 2026 berjalan lancar, termasuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti-parti politik arus perdana di Nepal.

    Mesyuarat yang diketuai oleh Karki itu dihadiri oleh semua parti politik utama serta beberapa wakil ‘Generasi Z’, kata Rawal.

    Turut hadir ialah wakil daripada parti bekas perdana menteri yang digulingkan, KP Sharma Oli dari Parti Komunis Nepal, Marxist Leninist Bersatu (CPN-UML). – AFP

    Sushila Karki. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda