WELLINGTON, 27 JUN – Lawatan Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins ke China akan membawa manfaat kepada sektor eksport, lapor Xinhua memetik kenyataan rasmi New Zealand Trade and Enterprise (NZTE).
“Delegasi perniagaan yang mengiringi Perdana Menteri Chris Hipkins ke China mempunyai dua fokus yang akan memberi manfaat kepada ekonomi dan hubungan New Zealand dengan China,” kata NZTE.
NZTE ialah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosi perniagaan New Zealand untuk berkembang di peringkat antarabangsa.
Hipkins mengetuai 29 anggota delegasi perdagangan yang merangkumi pelbagai sektor eksport seperti pelancongan dan pendidikan, ke China dari Ahad hingga Jumaat.
Mereka akan memperoleh manfaat daripada lawatan itu dan seterusnya, memberi rangsangan untuk profil New Zealand di China, kata Andrew White, pengarah wilayah untuk Greater China NZTE.
Satu siri taklimat telah diatur untuk para perwakilan bagi meningkatkan pemahaman mereka tentang China dan dinamik yang mempengaruhi ekonominya, kata White.
“Ramai perwakilan mempunyai berpengalaman dan sudah pun mempunyai operasi perniagaan yang berjaya di China, tetapi perubahan sentiasa berlaku di sini,” katanya.- Bernama
