Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM New Zealand mohon maaf atas penganiayaan di pusat penjagaan

    NEW ZEALAND, 12 NOV – Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon hari ini secara rasmi memohon maaf di parlimen kepada mangsa yang terselamat atas penderaan, penyeksaan dan pengabaian yang meluas dalam penjagaan negara dan gereja.

    “Ia mengerikan, menyayat hati, ia adalah salah,” kata Perdana Menteri Luxon dalam satu kenyataan.

    “Hari ini saya berdiri di hadapan anda sebagai wakil bukan sahaja kerajaan ini, tetapi semua kerajaan terdahulu untuk menawarkan permohonan maaf secara rasmi dan tanpa syarat atas penderaan yang anda alami semasa berada di pusat penjagaan negara, gereja dan tempat yang berasaskan agama lain,” katanya kepada mangsa yang terselamat.

    Permohonan maaf rasmi itu dibuat selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam laporannya menyatakan bahawa ribuan orang yang berada di bawah pusat penjagaan telah didera di negara itu dalam tempoh tujuh dekad lalu dan menyifatkannya sebagai ‘aib negara’.

    Pada Julai, suruhanjaya itu dalam laporannya mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 200,000 orang telah didera, malah lebih ramai diabaikan oleh kerajaan dan institusi berasaskan agama sejak 1950.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Coral Shaw, Dr Andrew Erueti dan Paul Gibson juga menggesa pembaharuan undang-undang yang meluas, perubahan sistem penjagaan negara, dan pelaksanaan segera skim pemulihan yang disyorkan.

    Suruhanjaya itu membuat 138 cadangan, mencadangkan penubuhan unit penyiasatan khas, Agensi Selamat Penjagaan bebas untuk menyelia sistem penjagaan, dan Pejabat Sistem Penjagaan yang kemudiannya akan menjadi Kementerian bagi Sistem Penjagaan. – Bernama

    Christopher Luxon membuat permohonan maaf secara rasmi dan tanpa syarat di Parlimen bagi pihak kerajaan atas penderaan, penyeksaan, dan pengabaian yang meluas dalam penjagaan negara dan gereja, di Wellington, New Zealand, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda