NEW DELHI, 28 MAC – Perdana Menteri Pakistan Imran Khan kelmarin berucap di perhimpunan besar-besaran di Islamabad susulan undi tidak percaya terhadapnya dikemukakan di parlimen.
Dalam ucapannya yang panjang lebar, pemimpin Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) itu menyuarakan visinya untuk menjadikan Pakistan lebih kukuh daripada segi ekonomi dan berikrar melaksanakan dasar luar yang bebas serta memerangi rasuah.
Imran yang menjadi perdana menteri pada 2018, berkata terdapat cubaan anasir luar untuk melemahkan kerajaannya. “Kami tidak akan tunduk kepada sesiapa,” katanya. Beliau mendakwa cubaan memanipulasi dasar luar Pakistan sedang diatur dari luar negara. – Bernama