Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Palestin bentang pelan pembaharuan negara

    RAMALLAH, 19 MAC – Bakal perdana menteri Palestin berkata hari ini beliau akan melantik kerajaan teknokratik dan menubuhkan dana amanah bebas untuk menyelia pembinaan semula Gaza.

    Dalam kenyataan misi yang diperoleh oleh The Associated Press, Mohammad Mustafa membentangkan rancangan yang luas untuk mewujudkan semula Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diminta oleh Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada visi selepas perang untuk menyelesaikan konflik.

    Namun PA tidak mempunyai kuasa di Gaza, yang tenteranya telah diusir oleh Hamas pada tahun 2007, dan hanya mempunyai kuasa terhad di Tebing Barat yang diduduki Israel.

    Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menolak sebarang pengembalian PA ke Gaza dan kerajaannya menentang keras kemerdekaan Palestin.

    Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melantik Mustafa sebagai perdana menteri minggu lalu.

    Ahli ekonomi berpendidikan AS dan penasihat lama kepada Abbas itu adalah calon bebas tanpa asas politik.

    Dalam kenyataan misi itu, Mustafa berkata beliau akan melantik ‘kerajaan teknokratik berkecuali yang boleh mendapat kepercayaan rakyat dan sokongan masyarakat antarabangsa’. Beliau menjanjikan pembaharuan yang meluas terhadap institusi PA dan dasar ‘toleransi sifar’ terhadap rasuah.

    Beliau berkata akan berusaha untuk menyatukan semula wilayah dan mewujudkan ‘agensi bebas, cekap dan telus untuk pemulihan dan pembinaan semula Gaza dan dana amanah yang diuruskan di peringkat antarabangsa untuk mengumpul, mengurus dan mengagihkan dana yang diperlukan’. – AP

    Abbas (kri) bergambar bersama Mustafa, di Ramallah pada 14 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda