WARSAW, 7 NOV – Presiden Poland Andrzej Duda kelmarin menamakan penyandang Perdana Menteri, Mateusz Morawiecki sebagai ketua kerajaan yang baharu berikutan pilihan raya parlimen yang diadakan bulan lepas.
“Setelah mengadakan rundingan saya memutuskan untuk memberikan tugas menubuhkan kerajaan kepada Perdana Menteri, Mateusz Morawiecki.
“Saya memutuskan untuk meneruskan tradisi Parlimen iaitu parti yang menang diberi peluang untuk membentuk kerajaan,” kata Duda dalam ucapan di televisyen, lapor Xinhua.
Pilihan raya Parlimen yang diadakan pada 15 Oktober lepas mencatatkan jumlah pengundi paling ramai namun tiada parti yang bertanding dapat membentuk kerajaan.
Parti Law and Justice (PiS) yang memerintah Poland selama dua penggal berturut-turut hanya memenangi 194 kerusi, tidak cukup untuk membentuk kerajaan.
Dewan Rakyat Poland atau Sejm mempunyai 460 kerusi.
Parti pembangkang, termasuk Civic Coalition, Third Way dan New Left, secara kolektif memenangi 248 kerusi.
Mereka telah menyatakan kesediaan untuk membentuk kerajaan campuran di bawah pimpinan bekas presiden Majlis Eropah dan bekas perdana menteri Poland Donald Tusk.
Mengikut Perlembagaan Poland, lazimnya presiden akan melantik perdana menteri daripada parti yang menang pilihan raya umum.
Perdana menteri kemudiannya akan menubuhkan kerajaan pada sidang Sejm yang dijadualkan pada 13 November. – Bernama