WASHINGTON, 12 SEPT – Serangan Israel bukan sahaja menyasarkan Qatar tetapi mana-mana negara yang berusaha mencapai keamanan, kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai situasi di Timur Tengah, kelmarin.
“Serangan berterusan itu bukan hanya menyasarkan Qatar. Ia adalah ancaman jelas terhadap mana-mana negara yang berusaha ke arah perdamaian dan ia turut melemahkan kepercayaan terhadap PBB,” katanya.
Beliau menyifatkan serangan udara Israel ke atas Doha awal minggu ini dengan menyasarkan anggota Hamas ketika membincangkan cadangan gencatan senjata baharu yang dikemukakan Amerika Syarikat sebagai pelanggaran kedaulatan sebuah negara anggota PBB. “Serangan itu jauh daripada kelakuan bertamadun sebuah negara yang percaya kepada keamanan.
“Israel sedang cuba menyusun semula rantau ini dengan kekerasan, berlandaskan fahaman ekstrem yang menjadi asas tingkah laku mereka,” katanya, sambil menegaskan tindakan itu bertujuan menggagalkan rundingan.
Perdana Menteri Qatar menegaskan Doha tetap percaya kepada peranan pengantaraan dan penyelesaian pertikaian secara aman, serta akan meneruskan usaha diplomatik dan tidak akan berkompromi terhadap keselamatan negaranya.
Beliau turut menuduh kepimpinan Israel sekarang sebagai “pelampau yang dahagakan darah, melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza” dan menggugat kestabilan serantau. – Bernama


