Saturday, February 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Rusia lawat Vietnam, erat hubungan

    HANOI, 14 JAN – Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin, tiba di Vietnam hari ini untuk lawatan selama dua hari yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara dua sekutu lama, ketika pengasingan Moscow semakin meningkat berikutan perang di Ukraine.

    Lawatan itu dibuat enam bulan selepas Presiden Vladimir Putin melawat Hanoi, di mana presiden Vietnam ketika itu, To Lam, menyatakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan Moscow, yang telah menjadi pembekal utama senjata kepada Vietnam selama beberapa dekad.

    Mishustin dijadualkan bertemu Lam, kini menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis dan pemimpin tertinggi negara serta Perdana Menteri Pham Minh Chinh hari ini.

    Mereka dijangka akan membincangkan “projek kerjasama penting dalam bidang tenaga dan industri untuk mewujudkan momentum bagi mempromosikan hubungan antara Vietnam dan Rusia,” menurut akhbar rasmi kerajaan Vietnam hari ini.

    Kelmarin, Alexey Likhachev, pengarah umum Rosatom, tenaga gergasi nuklear Rusia di Hanoi dan menyatakan kesediaan Rusia untuk membantu Vietnam membina loji tenaga nuklear, menurut kerajaan Vietnam.

    Vietnam berhasrat untuk memulakan semula rancangan tenaga nuklear bagi memenuhi keperluan tenaga yang berkembang pesat.

    Selama beberapa dekad, Rusia menjadi pembekal utama senjata kepada Vietnam, menyumbang lebih daripada 80 peratus daripada import antara 1995 dan 2023, tetapi tempahan telah menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan sekatan antarabangsa yang semakin ketat berhubung konflik Ukraine.

    Tiada perjanjian pertahanan diumumkan semasa lawatan Putin pada bulan Jun, namun kedua-dua pihak menyatakan dalam kenyataan bersama bahawa kerjasama pertahanan dan keselamatan mereka ‘tidak ditujukan kepada mana-mana negara ketiga’ dan menyumbang kepada ‘keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan’ di rantau itu. – AFP

    Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh (kanan) dan Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin (kiri) berjabat tangan semasa mesyuarat di Pejabat Kerajaan di Hanoi kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda