BELGRADE, 29 JAN – Para pelajar di Serbia berjanji untuk meneruskan bantahan walaupun selepas Perdana Menteri Serbia, Milos Vucevic, mengumumkan peletakan jawatannya, kelmarin, berikutan tunjuk perasaan besar-besaran yang berlaku sejak beberapa minggu berhubung keruntuhan bumbung stesen kereta api November lalu.
Negara Balkan itu telah digemparkan dengan bantahan susulan bencana maut di stesen kereta api di bandar utara Novi Sad yang mengorbankan 15 orang, berikutan pengubahsuaian yang meluas di kemudahan itu.
Kejadian itu telah mengakibatkan kemarahan yang berpanjangan di seluruh Serbia berhubung rasuah dan tuduhan kekurangan pengawasan terhadap projek pembinaan.
“Keputusan saya yang tidak boleh ditarik balik ialah meletak jawatan perdana menteri,” kata Vucevic pada sidang media di Belgrade, selepas pertemuan dengan Presiden Aleksandar Vucic.
“Untuk mengelakkan perkara yang lebih merumitkan, supaya kita tidak meningkatkan lagi ketegangan dalam masyarakat, saya membuat keputusan ini.” tambahnya.
Sebelum menjawat jawatan kerajaan terdahulu di Belgrade, Vucevic pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Novi Sad dari 2012 hingga 2022. – AFP