Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM seru rakyat berjiwa merdeka

    PUTRAJAYA, 30 OGOS – Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua rakyat berjiwa merdeka merupakan mesej penting bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara hebat.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata mesej yang disampaikan itu amat tepat dan perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.

    “Mesej-mesej dalam amanat Perdana Menteri tadi memang tepat dalam konteks kita sebagai sebuah negara, kita perlu menjiwai erti merdeka.

    “Pada masa sama, pengertian merdeka ini sekali gus akan mengukuhkan lagi perpaduan antara rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

    Justeru katanya sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan esok memberi makna kemerdekaan yang sebenar melangkaui aspek sambutan fizikal kerana turut melibatkan kemerdekaan jiwa.

    Pada majlis itu, Anwar dalam amanat pertama Hari Kebangsaan, menegaskan antara syarat untuk mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara hebat adalah dengan memastikan ‘merdeka rakyat’ iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta bebas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud.

    Perdana Menteri berkata untuk memastikan Malaysia maju, semua peringkat rakyat di negara ini perlu berjiwa merdeka dengan menolak menjadi perkakas dan dieksploitasi golongan elit untuk mengaut keuntungan peribadi yang merugikan negara. – Bernama

    Warga Kementerian Perpaduan Negara berpakaian tradisional pelbagai kaum dan bangsa bersemangat melaungkan Merdeka sambil mengibarkan Jalur Gemilang selepas majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di PICC kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda