Oleh Sim Y.H –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong serta rombongan, bertolak meninggalkan Negara Brunei Darussalam setelah menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) kali ke-11, hari ini.
Semasa berada di Negara Brunei Darussalam bagi program berkenaan, TYT Lawrence Wong serta delegasi telah mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta mengadakan lawatan ke Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (GJPMC).
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada TYT Lawrence Wong ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Menteri Pengiring; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Mengiringi TYT Lawrence Wong ialah Menteri Pembangunan Negara, TYT Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga Manusia, TYT Dr Koh Poh Koon; Menteri Negara Kanan, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital dan Kementerian Pendidikan, PYT Jasmin Lau; Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, Goh Hanyan; dan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi.
Lawatan TYT Lawrence Wong ke Negara Brunei Darussalam bagi YLP ke-11, menunjukkan hubungan istimewa dan unik antara kedua-dua buah negara dan komitmen berterusan kepada platform YLP ke arah menerokai peluang-peluang bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama pada masa yang akan datang.




