SINGAPURA, 1 MEI – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyeru rakyat supaya menilai beliau dan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara adil menjelang hari pengundian Sabtu ini yang bakal menentukan hala tuju baharu negara.
Semasa menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Hari Buruh sebagai perdana menteri, Wong menggesa rakyat Singapura memberikan sokongan kepada kepimpinan beliau dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin memuncak, termasuk ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta tarif yang menjejaskan sektor perniagaan dan mencetuskan kebimbangan merentas sektor.
“Nilailah apa yang telah kami lakukan, bagaimana kami memimpin. Jika anda yakin bahawa kami menunaikan janji dan kami adalah pasukan terbaik untuk membawa Singapura ke hadapan dalam tempoh mencabar ini, maka berilah sokongan anda,” katanya dalam ucaptama hari ini.
Dihadiri lebih 1,600 pemimpin kesatuan sekerja dan rakan tiga pihak, perhimpunan itu merupakan sambutan tahunan Hari Buruh Singapura — dan diadakan pada hari terakhir berkempen sebelum tempoh bertenang bermula pada tengah malam (2 Mei).
Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP menekankan kepentingan membina hubungan diplomatik yang kukuh dan saling mempercayai dengan Washington dan Beijing, menggelarnya aset utama dalam menangani persekitaran geopolitik global yang semakin tidak menentu.
Beliau memberi amaran tentang implikasi jangka panjang daripada pilihan pengundi, terutama apabila parti pembangkang dilihat seolah-olah bersedia untuk menyaksikan menteri kanan disingkirkan.
“Dalam pilihan raya ini, apabila parti pembangkang memandang ringan terhadap kehilangan menteri utama, saya katakan: tolong, tolong fikirkan masa depan negara dan kebajikan serta periuk nasi setiap warga Singapura,” tegasnya.
Wong turut memberi amaran tentang kemungkinan negara berdepan ‘ribut ekonomi’, termasuk risiko kemelesetan yang boleh menjejaskan pendapatan dan peluang pekerjaan. – Bernama
