Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Slovakia adakan lawatan mengejut ke Kremlin

    MOSCOW, 23 DIS – Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengadakan rundingan mengejut di Kremlin kelmarin dengan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, kata pegawai, selepas beliau memberi amaran tentang tindakan balas yang keras terhadap Ukraine berhubung serangan dron.

    Fico adalah salah satu daripada beberapa pemimpin Eropah yang sentiasa rapat dengan Putin sejak terjadinya permusuhan dengan Ukraine pada 2022.

    Wartawan televisyen Rusia, Pavel Zarubin, orang dalam Kremlin, menyiarkan video pendek yang menunjukkan kedua-dua pemimpin itu tersenyum dan berjabat tangan.

    Lawatan Fico, yang mana negaranya adalah ahli NATO dan Kesatuan Eropah, tidak diumumkan sebelum ini. Jurucakap Kremlin, Dmitri Peskov, berkata kepada Zarubin bahawa lawatan tersebut telah diatur beberapa hari lalu.

    Peskov tidak memberikan butiran berkaitan rundingan itu tetapi berkata ia boleh ‘diandaikan’ bahawa bekalan gas Rusia akan dibincangkan.

    Kemudian Peskov berkata pertemuan itu telah berakhir dan kedua-dua pemimpin itu tidak akan membuat ulasan.

    Sementara itu, Ukraine berkata ia tidak akan memperbaharui kontrak membenarkan transit gas Rusia melalui wilayahnya yang tamat pada 31 Disember.

    Slovakia dan Hungary yang bergantung kepada gas Rusia, telah menimbulkan kebimbangan mengenai prospek kehilangan bekalan. – AFP

    Putin (kanan) berjabat tangan dengan Fico sebelum perbincangan mereka di Moscow pada 22 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda