LONDON, 15 SEPT – Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson akur dengan kekalahannya dalam pilihan raya umum baru-baru ini, sekali gus memberi laluan kepada blok pembangkang membentuk kerajaan baharu.
Beliau berkata blok sayap kanan termasuk parti antiimigresen berjaya memperoleh majoriti tipis di Riksdag (parlimen).
“Esok saya akan hantar permohonan peletakan jawatan saya sebagai perdana menteri,” kata Andersson pada sidang media kelmarin, lapor agensi Anadolu. Bagaimanapun, beliau akan menerajui pentadbiran kerajaan sehingga kerajaan baharu dibentuk.
Andersson berkata beliau akan terus memimpin parti Sosial Demokrat dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencari penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi Sweden.
Ketua Parti Moderates, Ulf Kristersson berkata blok sayap kanan telah menerima mandat untuk melaksanakan perubahan.
“Saya kini memulakan tugas untuk membentuk kerajaan baharu. Saya mahu semua bersatu dan bukannya berpecah,” katanya di media sosial sambil mengucapkan terima kasih atas sokongan pengundi.
Andersson yang mengetuai parti terbesar itu, meletak jawatan kurang setahun selepas dia menjadi ketua kerajaan wanita pertama Sweden.
Pelantikannya sebagai perdana menteri telah menandakan satu kejayaan bagi Sweden, dilihat selama beberapa dekad sebagai salah sebuah negara paling progresif di Eropah dalam hal hubungan gender, tetapi sebelum ini tidak pernah mempunyai seorang wanita dalam jawatan politik tertinggi. – Bernama/AP
