Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Thailand akan bertemu komander tentera redakan krisis politik

    BANGKOK, 20 JUN – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dijadualkan bertemu seorang komander tentera yang beliau gelar sebagai ‘lawan’ dalam satu panggilan telefon yang terbocor, ketika beliau berusaha meredakan krisis yang mengancam untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya.

    Paetongtarn Shinawatra yang baharu memegang jawatan kurang daripada setahun, terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka kelmarin, selepas kemarahan tercetus berhubung rakaman panggilan telefon bersama bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang tersebar di internet.

    Rakan utama dalam gabungan pemerintahannya, parti konservatif Bhumjaithai, menarik diri pada Rabu dengan alasan beliau telah menghina negara dan angkatan tentera, sekali gus meletakkan kerajaan beliau di ambang kejatuhan.

    Hari ini, Paetongtarn dijadualkan melawat timur laut Thailand bagi memperbaiki hubungan dengan Leftenan Jeneral Boonsin Padklang, komander pasukan tentera di wilayah timur laut Thailand, lokasi berlakunya pertembungan sempadan.

    Dalam panggilan telefon yang bocor bersama Hun Sen itu, beliau merujuk Boonsin sebagai ‘lawan’, ketika kedua-dua pemimpin membincangkan pertikaian sempadan yang sedang berlaku.

    Thailand telah membuat bantahan rasmi kepada Kemboja berhubung kebocoran rakaman itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran protokol diplomatik yang menjejaskan kepercayaan antara kedua-dua negara.

    Paetongtarn turut dikritik sebagai lemah dan terlalu tunduk dalam panggilan bersama Hun Sen, namun komen beliau mengenai komander tentera dianggap paling merosakkan reputasinya.

    Ketika membuat permohonan maaf secara terbuka kelmarin, Paetongtarn tampil di hadapan ketua polis dan ketua tentera, sebagai simbol perpaduan.

    Namun, dengan majoriti yang sangat kecil, beliau masih kekal terdedah kepada risiko kejatuhan, apatah lagi gabungan politiknya terdiri daripada pihak-pihak yang berbeza pendapat. – AFP

    Paetongtarn Shinawatra berucap semasa sidang media di Bangunan Kerajaan di Bangkok pada 19 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda