Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Thailand Anutin isytihar perang terhadap dadah

    BANGKOK, 8 OKT – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengisytiharkan pembanterasan dadah sebagai keutamaan mendesak negara dan berikrar untuk ‘memenangi perang terhadap dadah’ serta menghapuskan ancaman itu daripada masyarakat.

    Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata usaha memerangi dadah sentiasa menjadi keutamaan negara bagi setiap pentadbiran, dan kerajaan semasa kekal komited meneruskan tindakan keras terhadap penyalahgunaan bahan terlarang.

    Beliau menegaskan kerajaan menganggap pengedar dan penyeludup dadah dalam apa jua bentuk sebagai musuh negara, sambil berusaha meminda undang-undang berkaitan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

    “Kerajaan memandang serius isu ini dan akan bertindak sebagai musuh tanpa henti terhadap semua pengedar, pemilik dan penyeludup dadah, dengan mengenakan hukuman berat secara saksama di bawah undang-undang. Sesiapa yang terlibat dalam kegiatan dadah akan berdepan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya pada sidang media di Biro Pembanterasan Narkotik Polis Diraja Thailand hari ini.

    Anutin turut memberi amaran bahawa mana-mana komuniti atau kampung yang membiarkan isu dadah berleluasa dan menjadi pusat pengedaran atau penyimpanan dadah akan dikenakan tindakan undang-undang lebih tegas serta hukuman lebih berat.

    “Kerajaan akan melaksanakan pembanterasan dadah secara berterusan tanpa sebarang kelonggaran bagi menjamin keselamatan komuniti dan mengekalkan ketenteraman negara,” katanya.

    Beliau berkata penangkapan berkaitan dadah diumumkan secara berkala, dengan dua rampasan besar berlaku dalam minggu lepas, manakala Ketua Polis Negara terus memaklumkan perkembangan operasi kepada orang ramai.

    Selepas sesi taklimat oleh Polis Diraja Thailand, Anutin secara peribadi memeriksa dadah serta kenderaan yang dirampas dan digunakan untuk menyembunyikan bahan terlarang itu. – Bernama

    Anutin Charnvirakul berucap di Parlimen di Bangkok, Thailand pada 29 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda