BANGKOK, 24 MAC – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, hari ini berdepan usul undi tidak percaya di parlimen apabila pihak pembangkang mendakwa beliau dipengaruhi secara berlebihan oleh bapanya, bekas perdana menteri dan gagal menguruskan negara dengan baik.
Paetongtarn, yang memegang jawatan sejak tahun lalu, dijangka akan melepasi undi tidak percaya pertamanya pada Rabu dengan sokongan gabungan pemerintah yang menguasai majoriti di Dewan Perwakilan.
Ketua pembangkang di parlimen, Natthaphong Ruengpanyawut, menuduh Paetongtarn gagal menangani pelbagai masalah kronik negara termasuk kelembapan ekonomi, pencemaran udara, jenayah dan rasuah.
Beliau mendakwa pentadbiran Paetongtarn lebih mengutamakan kepentingan keluarganya serta bapanya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang merupakan figura politik popular tetapi kontroversi.
Paetongtarn mengetuai Parti Pheu Thai, yang merupakan kesinambungan daripada beberapa parti populis yang dikaitkan dengan Thaksin, yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, melarikan diri ke luar negara, dan baru-baru ini kembali ke Thailand.
Natthapong, yang mengetuai Parti Rakyat – kesinambungan parti progresif dan reformis Move Forward yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum 2023 tetapi gagal membentuk kerajaan akibat tentangan kuat daripada golongan konservatif – mendakwa bahawa pembentukan gabungan pemerintah yang menyaksikan Pheu Thai bekerjasama dengan bekas musuh konservatifnya adalah sebahagian daripada perjanjian politik untuk membawa Thaksin pulang.
Paetongtarn juga dituduh oleh Prawit Wongsuwan, ketua Parti Palang Pracharath yang pernah menjadi rakan gabungan Pheu Thai, kerana membuat pengisytiharan harta yang tidak benar, dakwaan yang dinafikannya. – AP
