BANGKOK, 29 MEI – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, kelmarin telah mencadangkan belanjawan kerajaan berjumlah 3.78 trilion baht (AS$115.66 bilion) bagi tahun fiskal 2026 kepada parlimen, dengan tujuan merangsang ekonomi negara yang perlahan berikutan ketegangan perdagangan global.
Rang undang-undang tersebut mengunjurkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 0.7 peratus dan defisit belanjawan sebanyak 860 bilion baht, iaitu penurunan sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun fiskal 2025 yang akan berakhir pada September.
Paetongtarn menegaskan belanjawan itu mencerminkan komitmen pentadbirannya untuk memacu pemulihan ekonomi secara mampan, meningkatkan infrastruktur negara, memperkukuh kesaksamaan sosial dan mengekalkan disiplin fiskal.
Memandangkan keterbatasan hasil pendapatan dan cabaran dalam landskap global semasa, kerajaan telah mengamalkan dasar belanjawan defisit, dengan tumpuan utama kepada pengukuhan keselamatan negara, peningkatan daya saing dan pembangunan modal insan, katanya semasa sesi parlimen.
Menurut rancangan belanjawan itu, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Thailand bagi tahun 2025 dan 2026 diunjurkan pada kadar antara 2.3 peratus hingga 3.3 peratus, manakala kadar inflasi dijangka berada antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus.
Paetongtarn turut menyatakan, prospek ekonomi negara Asia Tenggara itu disokong oleh peningkatan pelaburan awam, penggunaan domestik dan pemulihan sektor pelancongan yang penting.
Namun, pertumbuhan masih dihadkan oleh tahap hutang isi rumah dan korporat yang tinggi, serta risiko yang berpunca daripada dasar perlindungan perdagangan Amerika Syarikat, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dalam sektor pertanian, kata Perdana Menteri.
Perbahasan selama empat hari di Dewan Rakyat dijangka berakhir pada Sabtu dan rang undang-undang tersebut memerlukan sokongan majoriti ahli parlimen yang hadir untuk melepasi bacaan pertamanya. – Xinhua


