Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Thailand janji buat yang terbaik

    BANGKOK, 16 MEI – Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata beliau akan melakukan yang terbaik sebagai ketua kerajaan sehingga kerajaan baharu dibentuk.

    Prayuth, calon Perdana Menteri parti United Thai Nation (UTN) membuat kenyataan sulung itu selepas pilihan raya pada Ahad yang menyaksikan partinya sekadar memenangi 36 daripada 500 kerusi.

    Beliau yang akan melepaskan jawatan perdana menteri membuat kenyataan itu kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan kabinet.

    Prayuth turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana telah melaksanakan hak mereka dan mengucapkan tahniah kepada semua parti politik.

    Beliau menyeru rakyat supaya bersatu dalam mempromosi perpaduan untuk pembangunan, kestabilan, kemakmuran dan kelestarian negara.

    Bagaimanapun, Prayuth enggan memberikan sebarang komen apabila ditanya mengenai karier politiknya selepas partinya kecundang dalam pilihan raya itu.

    Pada pilihan raya itu, dua parti pembangkang – Parti Move Forward dan Parti Pheu Thai – memperoleh 292 daripada 500 kerusi. 

    Dengan 99 peratus undi dikira, parti prodemokrasi yang dipacu golongan muda Move Forward mendahului dengan 152 kerusi manakala Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thailand yang dibuang negeri Thaksin Shinawatra, memenangi 141 kerusi.

    Parti-parti di barisan depan sedang berusaha membentuk gabungan untuk menubuhkan kerajaan baharu. – Bernama

    Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha semasa meninggalkan ibu pejabat Parti United Thai Nation di Bangkok, Thailand pada 14 Mei 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda