BANGKOK, 9 MEI – Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin telah berikrar untuk membanteras dadah haram, mengatakan bahawa memiliki ‘walaupun satu pil’ harus dihukum, dan mengarahkan pegawai untuk meneruskan rancangan untuk menjenayahkan semula ganja.
Kerajaan Thailand mengumumkan rancangan untuk menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik pada Februari, selepas menyahjenayah dadah itu pada 2022.
Kerajaan itu pernah terkenal dengan undang-undang dadahnya yang keras, tetapi ia telah berusaha untuk mendapatkan keuntungan dari ledakan global dalam ganja perubatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Thailand juga merupakan negara transit penting untuk candu dan methamphetamine – kebanyakannya dihasilkan di Myanmar yang dilanda perang.
“Masalah dadah adalah agenda nasional yang semua agensi mesti bekerjasama untuk menyelesaikan masalah itu dengan serius,” kata Srettha, kelmarin, di platform media sosial X berkata beliau mahu melihat kemajuan dalam tempoh 90 hari.
Sesiapa yang terlibat dalam dadah harus tahu bahawa ‘walaupun satu pil’ boleh membawa kepada pendakwaan, tulisnya.
Srettha, yang memegang jawatan pada Ogos lalu dan sering menyuarakan bantahannya terhadap penggunaan ganja secara rekreasi, berkata beliau telah meminta kementerian kesihatan untuk mempercepatkan langkah untuk menjenayah semula dadah itu.
Kementerian itu berkata pada Februari ia merancang tindakan segera, tetapi sedikit yang berubah, dan ratusan ‘dispensari’ ganja sah yang muncul selepas liberalisasi masih beroperasi.
Kerajaan mahu ganja dihadkan untuk tujuan perubatan, selepas Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang meluluskan penggunaan sedemikian, pada 2018. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/05/914516-01-02.jpg)