Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Thailand sangkal khabar angin rombakan kabinet

    BANGKOK, 7 JAN – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra hari ini menyangkal khabar angin mengenai kemungkinan berlaku rombakan kabinet dan menegaskan bahawa parti-parti gabungan masih kekal bersatu.

    Paetongtarn berkata walaupun beliau tidak berniat merombak kabinet, beliau merancang untuk bertemu setiap menteri secara individu bagi menilai prestasi mereka untuk tempoh tiga bulan lepas.

    “Ini adalah perbincangan yang telah dirancang. Dalam bulan ini, saya akan bertemu kira-kira dua kementerian. Saya ingin mengadakan perbincangan ini sejak permulaan penggal mereka, namun disebabkan pelbagai tanggungjawab yang timbul, ia menjadi perlu untuk memperjelaskan peranan setiap kementerian. Kini, perkara ini semakin jelas,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan hari ini.

    Beliau menjelaskan bahawa pertemuan bersama menteri-menteri telah dirancang dan diumumkan sejak tahun lepas, sambil menegaskan tiada sebab untuk mereka berasa bimbang.

    “Tiada keperluan untuk para menteri berasa gusar kerana ini hanya kemas kini mengenai sejauh mana pelaksanaan dasar telah dicapai. Tanggungjawab telah pun diagihkan kepada timbalan perdana menteri.

    “Mesyuarat ini bertujuan memahami pelaksanaan kerja di lapangan dan memberi peluang kepada setiap menteri untuk mengemukakan idea serta permintaan bagi mendapatkan sokongan bersama untuk mencapai hasil yang konkrit,” katanya.

    Baru-baru ini, media tempatan Thailand melaporkan terdapat perpecahan dalam Kabinet, dengan Menteri Tenaga Pirapan Salirathavibhaga menghadapi tekanan politik yang hebat susulan dakwaan perselisihan dengan seorang tokoh pembiaya utama partinya, Parti United Thai Nation (UTN), sehingga mencetuskan spekulasi beliau mungkin digugurkan. – Bernama

    Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra memeriksa barisan kehormat semasa majlis penyambutan sebelum pertemuannya dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 16 Disember lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda