KUALA LUMPUR, 14 FEB – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, menyokong sepenuhnya Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, dengan memuji tema Keterangkuman dan Kemampanan yang disifatkannya sebagai tepat pada masanya dan selaras dengan keutamaan kolektif ASEAN.
Beliau menekankan keperluan untuk kerjasama yang lebih kukuh bagi menangani cabaran keselamatan dan ekonomi bersama, memastikan rantau ini kekal berdaya tahan di sebalik ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
“Kami mengharapkan Malaysia untuk meneruskan kerjasama lebih erat dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme ASEAN sedia ada dalam menangani isu rentas sempadan yang mendesak dan memberi kesan kepada keselamatan serta kesejahteraan rakyat kita, seperti penyeludupan dadah, penipuan dalam talian serta jerebu rentas sempadan dan pencemaran udara ,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual bertulis.
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari, kali kelima ia menerajui kumpulan serantau itu sejak penubuhannya pada 1967. Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadual berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Mengenai perpaduan ASEAN, Paetongtarn menyuarakan keyakinan terhadap kepimpinan Malaysia, dengan menyatakan bahawa ia akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
“Inisiatif Malaysia, seperti Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China, mencerminkan komitmen ASEAN terhadap penglibatan strategik dengan rakan kongsi luar di tengah-tengah ketegangan global. Pendekatan ini akan membantu ASEAN mengemudi ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi,” katanya. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P11-1A-paper_15022025.jpg)