PM Thailand terselamat undi tidak percaya

BANGKOK, 28 FEB – Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha yang berdepan cubaan menyingkirkannya, memenangi undi tidak percaya apabila memperoleh 272 undi berbanding 49.

Turut terselamat lima anggota kabinet lain – Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan dan Wissanu Kreangam, Menteri Dalam Negeri Anupong Paojinda, Menteri Luar Don Pramudwinai dan Timbalan Menteri Pertanian Thammanat Prompao.

Perdebatan berhubung usul mencela itu berlangsung selama empat hari. Usul mencela memerlukan majoriti 245 undi.

Prayuth, pemimpin kudeta 2014 yang kemudian dipilih menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum tahun lalu, dituduh menyalahgunakan kuasa, rasuah dan salah urus ekonomi. Beliau menafikan semua tuduhan.

Keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Bagaimanapun, ia menimbulkan kekecohan dalam kalangan penyokong pembangkang apabila Parti Pheu Thai tidak menyertai proses pengundian pada hari ini. – Bernama