LONDON, 30 OGOS – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini memberi amaran bahawa mana-mana percubaan oleh ahli-ahli parlimen pada minggu depan untuk menghalang Brexit atau menangguhkannya melebihi 31 Oktober akan menyebabkan ‘kerosakan berpanjangan’ kepada kepercayaan awam terhadap politik.
Johnson berkata Britain sudah memutuskan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dalam referendum 2016 dan ahli-ahli parlimen sudah berjanji berulang kali untuk mengekalkan keputusan itu.
“Jika kita menghalang UK daripada meninggalkan EU pada 31 Oktober, jika itu ahli-ahli parlimen akhirnya lakukan, ia akan memberikan kerosakan berpanjangan kepada kepercayaan awam dalam terhadap politik.
“Ia akan menjejaskan parti-parti utama di negara ini. Generasi politik ini tidak akan dimaafkan kerana gagal menepati janji itu.”
Ahli-ahli parlimen pembangkang dan beberapa penggubal undang-undang dalam parti Konservatif Johnson sendiri berkata bahawa mereka mahu menggubal undang-undang bagi mencegah Brexit tanpa perjanjian, yang mana penilaian sendiri kerajaan memberi amaran mengenai kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.
Tetapi Johnson berkata persedian bagi Brexit tiada perjanjian membolehkan kerajaan untuk mencapai satu perjanjian dengan Brussels.
Johnson baru-baru ini telah bertindak menggantungkan parlimen beberapa minggu terakhir sebelum Brexit, dalam apa yang dianggap secara meluas sebagai tindakan untuk mengehadkan masa bagi penentangnya. – AFP
