LONDON, 19 JUN – Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata hari ini sekolah-sekolah di Britain akan menerima 1 bilion pound dalam pembiayaan untuk membantu pelajar mengejar mata pelajaran yang ketinggalan apabila sekolah ditutup selama beberapa bulan disebabkan koronavirus.
Bantuan kewangan itu diumumkan tatkala kerajaannya menghadapi kritikan berhubung janji tidak ditunaikan apabila semua pelajar sekolah rendah gagal kembali sebelum cuti musim panas.
Ia masih merupakan satu masalah untuk mengarahkan semua pelajar kembali untuk tahun akademik baharu pada September jika peraturan penjarakan sosial mewajibkan orang mengekalkan jarak dua meter masih dikuatkuasakan.
Wang baharu itu termasuk 650 juta pound untuk sekolah rendah dan menengah untuk ‘merangsang keputusan pendidikan,’ dan 350 juta pound untuk skim tutor khususnya untuk pelajar lemah.
Ketua guru akan memutuskan bagaimana membelanja 650 juta pound itu, namun kerajaan berkata ia menjangka wang dibelanjakan ke atas ‘intervensi berasaskan bukti’, terutamanya kumpulan tuisyen kecil. – AFP