Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Vietnam lawat UBD

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh dan isteri, Le Thi Bich Tran telah melawat Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin, untuk memerhatikan Kelas Bahasa Vietnam dan Kelas Pengajaran Bahasa Inggeris dalam talian dengan Pusat Global UBD-FPT di Da Nang Vietnam.

    Mengalu-alukan kedatangan TYT Perdana Menteri Vietnam dan isterinya di Bangunan Tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB), UBD ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan isteri, serta Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada lawatan rasmi dua hari Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam dari 10 hingga 11 Februari.

    Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan isteri; Duta Besar Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa dan isteri; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam kepada Republik Sosialis Vietnam, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof, menteri-menteri dari Republik Sosialis Vietnam, pegawai-pegawai kanan dari Negara Brunei Darussalam dan pihak pengurusan kanan serta pelajar-pelajar UBD.

    TYT Perdana Menteri Vietnam dan isterinya pada mulanya melawat Kelas Bahasa Vietnam dalam sesi, seperti yang diajar oleh pensyarah Vietnam, Pusat Bahasa UBD.

    TYT Perdana Menteri Vietnam menanam pokok sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda di Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBD BRC).

    Pada masa ini, seramai 52 pelajar UBD mendaftar dalam modul Bahasa Vietnam (Tahap 1 dan Tahap 2) di UBD dengan modul-modul yang baru ditawarkan sejak setahun lalu.

    Semasa kelas tersebut, TYT Perdana Menteri Vietnam dapat merasai sendiri bagaimana bahasa itu diajar kepada pelajar UBD.

    Tuan Yang Terutama kemudiannya berpeluang berinteraksi dengan pelajar dan mengetahui sebab mereka mempelajari bahasa Vietnam dan sama ada mereka mendapati pembelajaran bahasa tersebut mencabar.

    Dari Da Nang, Vietnam, guru dan pelajar Pusat Global UBD-FPT berpeluang berinteraksi dengan Tuan Yang Terutama dan isterinya melalui sesi persidangan video dalam talian.

    Pusat Global UBD-FPT di Da Nang, Vietnam, ialah kampus luar negara pertama UBD yang ditubuhkan antara UBD dan Universiti FPT yang berpangkalan di Vietnam pada November 2017 untuk bekerjasama dalam pengajaran bahasa Inggeris.

    UBD ialah universiti ASEAN pertama yang menubuhkan kampus di Vietnam dan berusaha untuk menjadi pusat latihan bahasa Inggeris utama di rantau ASEAN. Pusat itu melatih para pelajar dan orang dewasa, seperti pekerja dan jurutera perisian FPT. Sehingga kini, pusat itu telah melatih seramai 7,541 orang pelajar.

    Tuan Yang Terutama kemudiannya menandatangani buku pelawat UBD, diikuti dengan penyampaian sumbangan buku kepada Naib Canselor UBD.

    Sebanyak 100 buah buku dengan 35 judul berbeza (dalam bahasa Inggeris dan Vietnam) meliputi bahasa, linguistik dan budaya Vietnam telah disumbangkan kepada Perpustakaan UBD.

    Ia diikuti dengan penyampaian tanda penghargaan daripada Naib Canselor UBD kepada TYT Vietnam dan isteri serta daripada Tuan Yang Terutama itu kepada Naib Canselor UBD, dan sesi bergambar ramai.

    Lawatan diteruskan ke Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBD BRC) di mana beliau menanam pokok di taman itu sempena memperingati lawatannya ke UBD. Nama saintifik pokok tersebut ialah Cotylelobium burckii F.Heim dan nama lazimnya ialah Resak Durian. Spesies pokok tersebut tergolong dalam keluarga Dipterocarpaceae dan boleh ditemui di hutan kerangas.

    Ia merupakan spesies penting yang endemik di Borneo dan kini diklasifikasikan sebagai terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

    Pemuliharaan spesies itu amat penting memandangkan peratusan hutan kerangas yang ada di Brunei yang rendah serta julat aslinya yang kecil, iaitu hanya di Borneo.

    Lawatan diakhiri dengan jamuan ringan di Kafe Herba Simpur milik UBD bersebelahan perkarangan UBD BRC.

    UBD kini bekerjasama dengan universiti swasta di Vietnam, Universiti FPT untuk mengendalikan Pusat Global UBD-FPT.

    UBD terus bekerjasama dengan Universiti Can Tho, Universiti Kebangsaan Vietnam Hanoi dan Universiti Kebangsaan Vietnam Ho Chi Minh melalui Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) dan beberapa yang lain melalui keahliannya dalam program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar (AIMS) serta Mobiliti Universiti di rangkaian Asia dan Pasifik (UMAP).
    Pada masa ini, lapan warganegara Vietnam sedang mengikuti pengajian di UBD.

    Republik Sosialis Vietnam ialah destinasi popular untuk pelajar Tahun Discovery UBD, dengan lebih daripada 500 pelajar sarjana muda memilih untuk belajar, melakukan latihan amali atau menjadi sukarelawan selama satu semester di universiti dan institusi rakan kongsi UBD di Vietnam sejak 2011.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda