Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PMB fokus kehidupan sosial, ekonomi mapan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seramai 29 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan belia Surau Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal telah menyertai Program Masyarakat Bermaklumat (PMB), baru-baru ini.

    Sehubungan itu, Jabatan Penerangan menerusi Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik telah mengadakan majlis pembukaan bagi program tersebut di Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan
    Penerangan.

    Hadir di majlis tersebut, Pemangku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.

    Turut hadir Penolong Pengarah Urusan Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial, Yayasan, Awang Iswandy bin Ahmad.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dikepalai oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Ali Mashod dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Unit Hubungan Masyarakat, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.

    Dalam ucapannya, Pengiran Haji Ahmad Fadillah antara lain mengongsikan bahawa Program Masyarakat Bermaklumat merupakan satu inisiatif jabatan untuk memberikan peluang kepada masyarakat menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut, mengikut keperluan semasa dan isu yang relevan dengan keperluan pembangunan negara pada masa ini dan akan datang.

    PMB kali ini memfokuskan kepada dua aspek utama iaitu usaha bagi menjamin kehidupan sosial yang lebih baik dan ekonomi yang mampan, selaras dengan Wawasan 2035.

    Beliau juga menyentuh mengenai kepentingan mencari peluang yang ada untuk sama-sama berganding bahu dengan agensi-agensi berkenaan secara Whole of Nation dalam mencapai aspirasi negara.

    Selaras dengan tujuan program iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan, program tersebut telah disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi kerajaan yang terpilih.

    Awang Iswandy bergambar ramai bersama peserta Program Masyarakat Bermaklumat. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda