Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seramai 29 orang Muslimah masjid di Daerah Brunei dan Muara menyertai Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) anjuran Jabatan Penerangan, kelmarin.
Program berkenaan merupakan antara usaha jabatan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan membarigakan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha kerajaan ke arah mempertingkatkan taraf hidup dan menyuntik semangat diri serta memberikan inspirasi kepada anggota masyarakat.
Program yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama itu dihadiri oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Pegawai Ugama Kanan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin dan Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Nadhirah binti Haji Lahit. Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Awang Mohammad Rainie bin Haji Durani menyatakan bahawa melalui program itu, Jabatan Penerangan berhasrat untuk menekankan lagi peranan dan tanggungjawab masyarakat kepada raja dan pembangunan negara melalui perisian program dalam bentuk taklimat, dialog dan lawatan ke tempat-tempat yang berpotensi membuka minda, menyuntik semangat peserta.
Program telah diisikan dengan beberapa taklimat termasuk Peranan dan Tanggungjawab Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam; Konsep Makanan Halal Dalam Islam dan Wawasan Negara 2035.
Pada sebelah petang, para peserta berkesempatan mengunjungi Galeri Lentera Makmur, Jabatan Penerangan, yang telah dirasmikan pada 10 April 2021. Galeri berkenaan merupakan sebagai nilai tambah kepada platform penyebaran maklumat yang sedia ada sejajar dengan objektif asal penubuhan Jabatan Penerangan pada 1 April 1952 untuk menyalurkan maklumat dasar dan aktiviti kerajaan kepada seluruh lapisan masyarakat sama ada di bandar atau pendalaman dalam usahanya untuk membudayakan masyarakat bermaklumat.
Para peserta juga berkesempatan mengunjungi Bangunan Inkubatur Makanan Perusahaan Kecil (IMPK), Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kilanas dan mendengarkan taklimat daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
