KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Sektor pembuatan ASEAN berada dalam mod penguncupan pada Jun 2021, dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) keseluruhan merosot di bawah paras neutral 50.0 kepada 49.0 daripada 51.8 pada Mei 2021.
Bacaan PMI yang melepasi paras 50 mata menunjukkan pengembangan dalam sektor pembuatan, sementara bacaan di bawah 50 pula menunjukkan penguncupan.
Dalam satu kenyataan hari ini, IHS Markit berkata kemerosotan yang diperbaharui pada bulan Jun 2021 disebabkan oleh penguncupan di lima daripada tujuh negara ASEAN.
“Kemerosotan paling ketara dilihat di Malaysia, dengan indeks utama turun secara mendadak ke paras paling rendah iaitu hampir 39.9 pada bulan Jun 2021 daripada 51.3 pada Mei 2021 dan ini sekali gus mencerminkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang lebih ketat,” katanya.
Ia berkata Myanmar turut mengalami penurunan teruk pada bulan Jun 2021.
Dalam ulasannya, ahli ekonomi IHS Markit Lewis Cooper berkata penurunan itu terutamanya disebabkan oleh penguncupan besar di Malaysia dan Myanmar, dengan Malaysia menyaksikan perubahan kepada penurunan daripada pertumbuhan dalam tempoh dua bulan sebelumnya ketika sekatan COVID-19 diperketat.
“Sebaik sahaja kes pandemik dapat dikawal, langkah-langkah kawalan pergerakan akan dilonggarkan di seluruh rantau ini dan kita sekali lagi akan melihat pergerakan ke arah pemulihan dalam sektor pembuatan dengan banyak kerugian yang dialami pada tahun 2020 masih boleh dipulihkan,” katanya.
Mengenai prestasi PMI pembuatan keseluruhan pada bulan Jun 2021, Cooper berkata walaupun kadar kemerosotan dalam sektor ini hanya sedikit, ia adalah kejatuhan paling cepat sejak Oktober lepas. – Bernama